Pages

28 September, 2011

Nasi Lemak 2.0 punya Cerita

ARKIB : 21/09/2011 Utusan Malaysia


Bukan Nasi Lemak 2.0, soalnya Namewee...



MELIHAT reaksi orang ramai mengenai filem sulung arahan Namewee, Nasi Lemak 2.0 yang dikatakan mereka sebagai sebuah filem ‘komedi sosial’ yang baik lagi menghiburkan, ia tidak sedikit pun menarik minat saya untuk menonton filem tersebut.

Jika diberi tiket percuma pun, saya tidak mahu menonton filem ini, walaupun dibarisi oleh nama-nama selebriti handal yang saya kagumi seperti Afdlin Shauki, Datuk David Arumugam dan Adibah Noor, apatah lagi melanggannya di Astro First apabila filem itu habis ditayangkan kelak.

Sebabnya, bukan kerana filem Nasi Lemak 2.0. Tetapi kerana si pengarah dan penulis skripnya yang banyak mengguris hati rakyat Malaysia sebelum ini.

Tentu kita belum dapat melupakan lagi, pemuda yang berasal dari Johor ini pernah dengan lagu Negarakuku, memperlekeh negara dan menghina wanita Islam bertudung dan azan subuh.

Selepas itu, dia atau nama sebenarnya Wee Meng Chee buat hal lagi dengan menghina TNB dan dalam lagu bertajuk Kawanku menghina Melayu dengan lirik ‘Melayu Balik Hutan Jadi Sakai’.

Dan ada lagi, dia membuat satu lagi klip video yang menghina Guru Besar dan Kementerian Pelajaran dengan perkataan-perkataan lucah.

Sekarang, Namewee melalui Nasi Lemak 2.0 pula menyifatkan, filem lakonannya itu adalah aspirasi 1Malaysia, yang melambangkan penyatuan dan perpaduan kaum di negara ini.

Alahai, dia pula bercakap pasal 1Malaysia. Adakah anak muda ini sedar, bukankah perpaduan di negara ini dipupuk dengan cara kita menghormati setiap kaum yang ada. Bukan dengan menghina dan memperlekehkan sesuatu kaum dan negaranya seperti yang disiarkan di YouTube.

Namun ‘perjalanan seni’ anak muda ini boleh disifatkan luar biasa, kerana setelah apa yang dilakukannya, peliknya dia masih diberi peluang berjumpa seorang menteri, dan tiada tindakan yang diambil terhadapnya.
Dan dia yang banyak ‘diberi muka’ ini juga dengan yakinnya mahu berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula untuk menyokongnya berkarya atas nama 1Malaysia.

Siapa dia Namewee ini, apa keistimewaan dan kekebalannya? Jawapannya, lelaki ini telah menyakiti hati ramai orang terutamanya orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Seperti yang ditegaskan, saya tiada masalah dengan filem Nasi Lemak 2.0. Saya menyokong filem tempatan dan tidak kisah mengeluarkan wang menonton filem Melayu di pawagam.

Apabila memperkatakan tentang filem berunsurkan 1Malaysia, bukan filem Nasi Lemak 2.0 sahaja mempunyai aspirasi ini. Saya juga telah menonton filem Estet di pawagam.

Estet arahan Mamat Khalid ini menggabungkan kehidupan semua kaum di negara ini yang saling hormat-menghormati dan membantu antara satu sama lain dalam sebuah kampung.

Dan saudara Mamat kita ini, tidak heboh pun dengan mengangkat filem tersebut sebagai filem 1Malaysia!

21 September, 2011

SENYAP 1.0


SOCIAL ENFORCEMENT FOR NATIONAL YOUTH AWARENESS PROGRAMME


SENYAP satu program kesedaran untuk pembangunan belia dari segi interaktif maya yang telah berjaya diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra PWTC Kuala Lumpur baru-baru ini. Jemputan pada program ini khusus buat blogger-blogger belia dan pengguna sosial media seperti facebook dan twitter. Program yang julung-julung kali diadakan ini adalah sebagai satu batu loncatan ke arah pembangunan belia dengan menggunakan pena maya belia itu sendiri. Memperkasakan golongan belia merupakan satu mandat yang diberikan kepada Information Technology Youth Movement ITYM untuk muncul dengan satu modul tersendiri dalam mencorak keberkesanan nukilan yang menyumbang ke arah keamanan negara di rangkaian sosial yang semakin ramai penggunanya.

SENYAP dengan kerjasama Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia IPPBM telah mencetuskan satu fenomena baru dalam dunia blogger dimana hubungan dua hala diantara kerajaan Malaysia dan blogger belia dapat didekatkan. Nukilan-nukilan blogger masakini merupakan satu info ataupun berita pantas yang dapat dikongsi dan disebarkan melalui rangkaian sosial sedia ada dimana dapat kita lihat media arus perdana juga telah menggunakan rangkaian sosial untuk hebahan dan promosi mereka.

Ramai yang tertanya-tanya apakah SENYAP dan mengapakah SENYAP ini perlu diadakan dan kenapakah dinamakan SENYAP? Mungkin persoalan ini hanya mampu dijawab bagi mereka yang telah menghadiri persidangan SENYAP baru-baru ini. Ada juga diantara mereka yang tidak betul-betul yakin dan mungkin tidak berani mencuba menghadiri ke program seperti ini tetapi syabas diucapkan kepada blogger-blogger belia yang berani tampil berkongsi idea-idea bernas kepada SENYAP kali ini.

SENYAP juga merupakan salah satu program dibawah inisiatif Makmal Transformasi Pembangunan Belia 2010 dimana ahli makmal tersebut telah mengutarakan Virtual Youth Resource Center VyRec dimana satu portal pembangunan belia tengah dalam proses pembinaan. Selain itu , kita telah biasa didedahkan dengan sukarelawan-sukarelawan yang menjalankan aktiviti kemasyarakatan dan keamanan, oleh itu pada kali ini ITYM berjaya mewujudkan satu kumpulan sukarelawan IT ( cyber volunteer ) dalam menangkis segala tohmahan dan fitnah masyarakat luar kepada negara kita MALAYSIA.


De Zul
Ahli Makmal Belia 2010





LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...