Media arus perdana perlu berpegang kepada prinsip berfakta: PM
oleh Zainudin Isa dan Zef Othman
2010/09/02
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata media arus perdana mampu bersaing dengan media baru seperti blog dan internet selagi ia masih berpegang kepada prinsip menyiarkan laporan berfakta.Perdana Menteri berkata, kelebihan dan kekuatan yang dimiliki media perdana hari ini masih tidak terdapat pada media baru yang boleh diterima dan dipercayai pembaca.
Najib turut meluangkan masa melawat bahagian editorial Berita Berita dan Harian Metro sebelum berbuka puasa dengan lebih 1,000 warga NSTP.
Perdana Menteri berkata, kecenderungan berita internet atau blog ialah ia boleh dibangunkan secara peribadi dan ini membezakan bahan atau berita itu sama ada ia berprinsip, bertanggungjawab dan berasaskan kebenaran.
"Seperti kita tahu media baru memuatkan banyak bahan berasaskan kepada pendapat, tidak semestinya fakta, mengandungi pendapat peribadi atau mungkin juga digunakan pendapat orang lain disiarkan dalam blog itu.
"Oleh itu mungkin juga cerita itu kurang benar, kurang tepat, tapi disiarkan dan inilah yang mesti dibezakan oleh masyarakat kita, masyarakat mesti ada keupayaaan untuk membuat penilaian, tahu membezakan kekuatan media perdana dan media baru," katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu media arus perdana seperti NSTP terus berpegang kepada peranannya sebagai akhbar yang menyajikan fakta, disulami dengan pendapat bernas bagi meneruskan kesinambungan perjuangan dan pembangunan negara.
No comments:
Post a Comment